LANGKAH PENCEGAHAN BULI

Saturday, August 21, 2010


1-IBU BAPA PERLU MENGETAHUI DAN MENGENAL PASTI ADAKAH ANAK MEREKA MENJADI MANGSA BULI.

Setengah anak-anak akan memberitahu ibu bapa sekiranya mereka dibuli tetapi terdapat juga anak-anak yang hanya memendam perasaan apabila mereka dibuli. Antara tanda-tanda yang menunjukkan anak-anak kita menjadi mangsa buli adalah takut berjalan ataupun pulang daripada sekolah ataupun langsung tidak mahu ke sekolah, meminta dihantar ke sekolah ataupun memohon supaya ibu bapa mengambil jalan lain daripada perjalanan biasa ke sekolah, mula menunjukkan penurunan pencapaian pembelajaran di sekolah, selalu pulang ke rumah dengan pakaian yang koyak rabak, ataupun sentiasa kehilangan barang-barang persendirian, sentiasa kekurangan wang saku, berubah sikap menjadi orang yang suka berdiam diri, gagap dan cuba membunuh diri, sentiasa menangis semasa tidur dan sering mengalami mimpi dan meracau, sering memberi pelbagai alasan psikomatik yang aneh seperti sentiasa sakit perut, pening kepala, letih pada waktu pagi terutama semasa ke sekolah, sentiasa memberi pelbagai alasan yang tidak berasas bagi mengelakkan diri ke sekolah dan sentiasa bersendirian dan tidak mempunyai kawan.

2-MENGADAKAN PROGRAM INTERVENSI DI DALAM BILIK DARJAH DAN INTERVENSI INDIVIDU

Program Pencegahan Buli, menilai tahap perlakuan buli dan tahap komitmen kakitangan sekolah, kenalpasti apa yang berlaku di sekolah, buat perancangan tindakan, penyediaan polisi antibuli, berbincang dengan pelajar ataupun kumpulan tentang apa yang dilakukan bagi membantu mereka baik mangsa buli ataupun pembuli, galakan tingkah laku yang dapat mendatangkan kesan positif pada tingkah laku interpersonal pelajar, mengadakan Program Langkah ke Arah Penghormatan dan Kemahiran Bersahabat , menggunakan kuasa kumpulan rakan sebaya, Program Intervensi Menggunakan Pendekatan Persekitaran Sekolah yang Selamat dan Aman (C.A.P.S.L.E), Program Intervensi dan Pencegahan Buli Di Sekolah Berasrama dan Program Intervensi Menggunakan Persekitaran Pembelajaran Virtual.

3-PENGENALAN SEMULA MATA PELAJARAN PENDIDIKAN SIVIK DAN KEWARGANEGARAAN (PSK) KEPADA PELAJAR SEKOLAH RENDAH DAN MENENGAH

Matapelajaran PSK ini merupakan satu langkah ke arah membentuk keperibadian para remaja yang mulia dan juga berperanan memupuk nilai-nilai murni dalam diri setiap remaja. Melalui pengenalan semula matapelajaran ini, seseorang individu berupaya menyelesaikan masalah yang dihadapinya tanpa unsur-unsur keganasan, memahami kepelbagaian agama, budaya serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara.



4-KOMUNIKASI DAN PERGAULAN ANTARA IBU BAPA, ADIK-BERADIK DAN RAKAN-RAKAN.

Ibu bapa khususnya perlu bijak dalam hal mendidik anak-anak agar tidak terjerumus dalam jenayah buli. “Melentur buluh biarlah dari rebungnya” merupakan satu ungkapan yang perlu diambil iktibar oleh setiap ibu bapa dalam mengajar dan mengatur kehidupan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu memberi pendidikan yang berkaitan hal agama sejak kecil supaya anak-anak menyedari perkara tersebut sama ada salah atau betul. Janganlah sampai nasi sudah menjadi bubur, barulah ibu bapa kelam kabut untuk mengambil tindakan yang sememangnya amat susah di terima oleh para remaja yang mempunyai pendirian yang tersendiri. Seterusnya ibu bapa tidak seharusnya bersikap lepas tangan dalam mendidik anak-anak disebabkan kesibukan bekerja dan melepaskan tanggungjawab kepada pembantu rumah. Jadi ibu bapa harus memberi perhatian yang secukupnya kepada anak-anak supaya mereka menganggap ibu bapa sering menjadi tempat berlindung dan tempat mengadu masalah.

5-MENGADAKAN KEMPEN-KEMPEN PENCEGAHAN JENAYAH BULI DI SETIAP SEKOLAH.

Pelbagai kempen yang diadakan mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan para remaja terutamanya peringkat sekolah rendah. Hal ini demikian kerana pelajar pada tahap ini kurang terdedah kepada kegiatan-kegiatan jenayah. Dengan ini, mereka akan berasa takut untuk melakukan jenayah buli setelah terlibat dalam kempen-kenpem kesedaran yang diadakan di sekolah. Antara kempen pencegahan jenayah buli yang sering diadakan di sekolah adalah seperti tayangan video, pameran berunsurkan aktiviti jenayah buli dan mewajibkan jemputan kepada pegawai polis untuk hadir memberi ucapan mengenai kegiatan jenayah buli, kesan dan hukuman kepada pesalah. Oleh itu, kempen kesedaran sepatutnya diadakan untuk meningkatkan tahap kesedaran para remaja yang kebelakangan ini amat membimbangkan.

6-PENUBUHAN KELAB BERSIFAT ANTIJENAYAH SOSIAL DI SEKOLAH

Penubuhan kelab ini merupakan antara modus operandi untuk menangani masalah jenayah yang semakin berleluasa ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Kelab Pencegah Jenayah (KPJ) dan Skim Lencana Anti Dadah (SLAD) merupakan antara kelab bersifat antijenayah yang ditubuhkan di sekolah. Kelab-kelab seperti ini bukan sahaja mendedahkan keburukan melakukan jenayah malahan menggalakkan pelajar untuk sentiasa melakukan perkara-perkara yang berunsurkan sifat mahmudah seperti tolong-menolong dan ikhlas dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Kegiatan jenayah buli yang berlaku dalam kalangan remaja didapati semakin merosot sejurus selepas penubuhan kelab-kalab bersifat antijenayah sosial di sekolah.



Oleh : Noor Izyani Zahari (199965)

0 comments:

Post a Comment